Ibn Taimiyyah dan Raja Qazan
..satu
ketika Ibn Taimiyyah bersama dengan sejumlah ulama Damsyik pergi
berjumpa dengan Raja Tatar yang bernama Qazan. Raja Tatar tersebut
mendakwa telah menganut Islam, tetapi melakukan penyelewengan dan
kezaliman terhadap umat Islam. Ibnu Taimiyyah masuk untuk menasihatinya.
Dengan nada tegas dan mesej yang jelas Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah
menasihati Raja Qazan berkenaan.
Kata Syeikhul Islam Ibn
Taimiyyah kepada penterjemah Raja Qazan: “Beritahu Qazan, engkau
mendakwa engkau seorang muslim, aku dengar bersama engkau ramai ulama.
Habis mengapa engkau memerangi negeri kami? Bapa dan datuk engkau Hulako
dahulu adalah kafir, tetapi mereka tidak menyerang negeri kami,
sebaliknya membuat perjanjian. Adapun engkau berjanji tetapi mungkir,
berkata tetapi tidak tunaikan.”
Kemudian berlangsunglah dialog
antara Ibn Taimiyyah dan Raja Qazan. Selepas itu Raja Qazan berkenaan
menjamu sekelian yang hadir ke majlis tersebut dengan hidangan. Kesemua
yang hadir makan dengan lazatnya. Namun Ibn Taimiyyah tidak mahu makan.
Lalu Raja Tatar itu bertanya: “Mengapa engkau tidak mahu makan?”.
Jawab Ibn Taimiyyah: “Bagaimana aku hendak makan, kesemua ini adalah
hasil rampasanmu ke atas harta orang ramai? Kamu pula memasaknya dengan
menggunakan kayu yang kamu potong daripada pokok-pokok milik
orangramai!”.
Kata Raja Qazan: “Berdoalah untukku”.
Kata Ibn Taimiyyah: “Ya Allah, jika hambaMu ini seorang yang mulia,
berperang untuk meninggikan kalimahMu, maka bantulah dia, kuatkan
kerajaannya. Namun jika dia berperang kerana menunjuk-nunjuk, untuk
mengangkat dirinya dan menghina Islam, maka ambillah tindakan
terhadapnya”.
Ulama-ulama yang sedang makan dengan asyik
hidangan Raja Tatar itu, masing-masing mengangkat jubah mereka. Lalu Ibn
Taimiyyah bertanya mereka: “Mengapa kamu semua mengangkat jubah?”.
Jawab mereka: “Kami bimbang jika Raja memancung kepala engkau, nanti darah engkau akan terkena jubah kami”.
Apabila keluar dari majlis berkenaan mereka berkata kepada Ibn
Taimiyyah: “Engkau telah telah membahayakan kami, kami tidak mahu
bersama dengan engkau lagi”. Jawab: “Aku pun tidak mahu bersama kamu
semua lagi” (lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 14/92, Beirut:
Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Saya memetik cerita ini bagi
menggambarkan kadang-kala betapa ramai mereka yang memakai gelaran agama
seperti ulama, syeikh, mufti dan seumpamanya yang mementingkan jubahnya
agar tidak kotor atau tercemar lebih daripada mementingkan
tanggungjawab mereka sebagai ilmuwan Islam untuk menegakkan kebenaran
kerana Allah.
Jika Ibn Taimiyyah tidak makan kerana
mengenangkan nilai makanan yang dijamu, sementara ramai ulama lain yang
‘sebat semacam’ dalam kegawatan pertarungan yang seperti itu, apakah
ulama di zaman keresahan rakyat miskin kini disebabkan kenaikan harga
barang, akan mencontohi sikap Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, atau akan
tiru macam ulama-ulama dalam majlis Qazan itu lalu mereka juga akan
‘sebat semacam’ jamuan mewah yang melampaui batas yang patut menggunakan
harta rakyat.
..saya menulis ini bertujuan untuk mengingatkan diri sendiri, bukan untuk orang lain. Ia boleh dibaca sebagai iktibar..
#dipetik dari DrMAZA.com
semoga kita yang membaca artikel ini mendapat iktibar, insyaAllah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan