
Kisah ini diceritakan oleh seorang ustaz yang bertugas memandikan mayat  orang Islam di hospital. Lebih kurang jam 3.30 pagi, saya menerima  panggilan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Selangor untuk  menguruskan jenazah lelaki yang sudah seminggu tidak dituntut. Di luar  bilik mayat itu cukup dingin dan gelap serta sunyi dan hening.
Hanya saya dan seorang penjaga bilik tersebut yang berada dalam bilik  berkenaan. Saya membuka dengan hati-hati penutup muka jenazah. Kulitnya  putih, badannya kecil dan berusia awal 20-an. Allah Maha Berkuasa.  Tiba-tiba saya lihat muka jenazah itu sedikit demi sedikit bertukar  menjadi hitam. Mulanya saya tidak menganggap ia sebagai aneh, namun  apabila semakin lama semakin hitam, hati saya mula bertanya-tanya. Saya  terus menatap perubahan itu dengan teliti, sambil di hati tidak  berhenti-henti membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Detik demi detik  berlalu, wajah jenazah semakin hitam. Selepas lima minit berlalu,  barulah ia berhenti bertukar warna. Ketika itu wajah mayat berkenaan  tidak lagi putih seperti warna asalnya, tetapi hitam seperti terbakar.  Saya keluar dari bilik berkenaan dan duduk termenung memikirkan kejadian  aneh yang berlaku itu. Pelbagai pertanyaan timbul di kepala saya apakah  yang sebenarnya telah terjadi? Siapakah pemuda itu? Mengapa wajahnya  bertukar hitam? Persoalan demi persoalan muncul di fikiran saya.
Sedang saya termenung tiba-tiba saya dapati ada seorang wanita berjalan  menuju ke arah saya. Satu lagi pertanyaan timbul, siapa pula wanita ini  yang berjalan seorang diri di bilik mayat pada pukul 4.00 pagi. Semakin  lama dia semakin hampir, dan tidak lama kemudian berdiri di hadapan  saya. Dia berusia 60-an dan memakai baju kurung.
Ustaz," kata  wanita itu."Saya dengar anak saya meninggal dunia dan sudah seminggu  mayatnya tidak dituntut. Jadi saya nak tengok jenazahnya." kata wanita  berkenaan dengan lembut.
Walaupun hati saya ada sedikit  tanda tanya, namun saya membawa juga wanita itu ke tempat jenazah  tersebut. Saya tarik laci 313 dan buka kain penutup wajahnya
"Betulkah ini mayat anak mak cik?"tanya saya."Mak cik rasa betul... tapi  kulitnya putih."Makcik lihatlah betul-betul." kata saya. Selepas  ditelitinya jenazah berkenaan,wanita itu begitu yakin yang mayat itu  adalah anaknya. Saya tutup kembali kain penutup mayat dan menolak  kembali lacinya ke dalam dan membawa wanita itu keluar dari bilik mayat.  Tiba di luar saya bertanya kepadanya.
"Mak cik, ceritakanlah  kepada saya apa sebenarnya yang berlaku sampai wajah anak mak cik  bertukar jadi hitam?" tanya saya.Wanita itu tidak mahu menjawab  sebaliknya menangis teresak-esak.Saya ulangi pertanyaan tetapi ia masih  enggan menjawab.Dia seperti menyembunyikan sesuatu."Baiklah, kalau mak  cik tidak mahu beritahu,saya tak mahu uruskan jenazah anak mak cik ini.  "kata saya untuk menggertaknya.
Bila saya berkata demikian,  barulah wanita itu membuka mulutnya.Sambil mengesat airmata, dia  berkata,"Ustaz, anak saya ni memang baik,patuh dan taat kepada saya.Jika  dikejutkan di waktu malam atau pagi supaya buat sesuatu kerja,dia akan  bangun dan buat kerja itu tanpa membantah sepatahpun.Dia memang anak  yang baik.Tapi..." tambah wanita itu lagi "apabila makcik kejutkan dia  untuk bangun sembahyang,Subuh misalnya, dia mengamuk marahkan mak  cik.Kejutlah dia, suruhlah dia pergi ke kedai,dalam hujan lebat pun dia  akan pergi, tapi kalau dikejutkan supaya bangun sembahyang,anak makcik  ini akan terus naik angin.Itulah yang mak cik kesalkan." kata wanita  tersebut.
Jawapannya itu memeranjatkan saya.Teringat saya  kepada hadis nabi bahawa barang siapa yang tidak sembahyang,maka akan  ditarik cahaya iman dari wajahnya.Mungkin itulah yang berlaku.Wajah  pemuda itu bukan sahaja ditarik cahaya keimanannya,malah diaibkan dengan  warna yang hitam.
Selepas menceritakan perangai anaknya,wanita  tersebut meminta diri untuk pulang.Dia berjalan dengan pantas dan  hilang dalam persekitaran yang gelap.Kemudian saya pun memandikan,  mengapankan dan menyembahyangkannya.
Selesai urusan itu, saya  kembali ke rumah semula.Saya perlu balik secepat mungkin kerana perlu  bertugas keesokan harinya sebagai imam di Masjid Sultan Sallehuddin  Abdul Aziz Shah, Shah Alam.Selang dua tiga hari kemudian, entah kenapa  hati saya begitu tergerak untuk menghubungi waris mayat pemuda tersebut.  Melalui nombor telefon yang diberikan oleh Hospital Tengku Ampuan  Rahimah,saya hubungi saudara Allahyarham yang agak jauh pertalian  persaudaraannya.
Selepas memperkenalkan diri, saya  berkata,"Encik, kenapa encik biarkan orang tua itu datang ke hospital  seorang diri di pagi-pagi hari.Rasanya lebih elok kalau encik dan  keluarga encik yang datang sebab encik tinggal di Kuala Lumpur lebih  dekat dengan Klang."Pertanyaan saya itu menyebabkan dia terkejut,"Orang  tua mana pula?" katanya.
Saya ceritakan tentang wanita  berkenaan, tentang bentuk badannya,wajahnya, tuturannya serta  pakaiannya."Kalau wanita itu yang ustaz katakan,perempuan itu adalah  emaknya, tapi.... emaknya dah meninggal lima tahun lalu!"Saya terpaku,  tidak tahu apa yang hendak dikatakan lagi.Jadi 'apakah' yang datang  menemui saya pagi itu?
Walau siapa pun wanita itu dalam erti  kata sebenarnya,saya yakin ia adalah 'sesuatu' yang Allah turunkan untuk  memberitahu kita apa yang sebenarnya telah berlaku hingga menyebabkan  wajah pemuda berkenaan bertukar hitam.Peristiwa tersebut telah terjadi  lebih setahun lalu, tapi masih segar dalam ingatan saya.Ia mengingatkan  saya kepada sebuah hadis nabi,yang bermaksud bahawa jika seseorang itu  meninggalkan sembahyang satu waktu dengan sengaja,dia akan ditempatkan  di neraka selama 80,000 tahun.Bayangkanlah seksaan yang akan dilalui  kerana satu hari di akhirat bersamaan dengan seribu tahun di dunia.
Kalau 80,000 tahun?
Ingatlah..azab meninggalkan solat fardhu ini amat dahsyat dan tidak  putus-putus seksaannya dari kehidupan dunia hinggalah kehidupan  akhirat..Semoga kita semua mengambil iktibar dari cerita ini dan menjadi  orang yang sentiasa menjaga solat,InsyaAllah.. 
