Mata saya memandang pusara Mak Lang. Di
sebelahnya pusara suaminya Pak Lang. Saya tersenyum.
Terbayang
satu-persatu episod kenangan bersama mereka. Pak Lang meninggal sewaktu saya
baru memulakan pengajian di universiti, manakala Mak Lang pula menyusul 3 bulan
kemudian. Mereka meninggal
atas sebab-sebab biasa –kata orang sakit tua. Mak Lang seingat saya berusia 80
tahun ketika meninggal, Pak Lang mungkin lebih lagi.
Mak Lang terutamanya, tidak
mengajar saya ilmu rumah tangga, tetapi saya banyak belajar dari cerita-cerita
dan amalannya.
“Mak Lang ada gaduh-gaduh tak
dengan Pak Lang?” tanya saya.
“Eh, kau ni..Pak Lang kau tu panas orangnya. Ada le gaduh, tapi
tak selalu..”
“Kalau gaduh, Mak Lang
buat apa?”
“Pak Lang kau tu cepat reda, datang le dia memujuk.”
“Wah romantik juga ya. Apa
kata-kata pujukan Pak Lang?”
usik saya.
“Dia tak cakap apa-apa. Dia
tengok apa Mak Lang buat, dia tolong. Itu Mak Lang tahulah..dia pujuk. Atau
tiba-tiba dia pergi kedai, beli bahan masakan kegemaran Mak Lang..kemudian dia
kata, jom masak sama-sama.”
“Apa kau tanya-tanya ni..Mak
Lang bukan pandai sangat. Orang kampung biasa. Kau tu kan belajar tinggi. ”
“Taklah Mak Lang, saya Cuma
nak dengar kisah-kisah Mak Lang. Dulu masa ada Pak Lang, takut saya. Dia tu
garang orangnya, ” akui saya terus terang.
“Garang-garang pun dah suami
kita. Mak Lang tak harap apa-apa masa mula dijodohkan dengan Pak Lang kamu.. ”
“Maksud Mak Lang?”
“Mak Lang tak pernah
bayangkan suami Mak Lang mesti begini, begitu..Hati Mak Lang terima bulat Pak Lang
kamu sejak diakad nikah. Yang Mak Lang fikir, macam mana Mak lang perlu buat
bila dah kahwin nanti..kena masak, kena jaga rumah, kena layan suami, kena
didik anak..Mak Lang sedia itu sahaja. Mak Lang fikir singkat sahaja. Tak
pandai pasang angan-angan.”
Singkat tapi tepat.
Mudah tapi berhikmah. Mak Lang mungkin tidak mengetahui falsafah ilmu rumah
tangga. Tetapi hati, perlakuan dan kata-katanya menepati ilmu yang dihuraikan
oleh buku-buku besar ahli-ahli falsafah. Ilmu itu pada tindakan.
“Mak Lang belajar urut-urut
tak?”
“Manalah ada. ”
“Habis..kata Pak Lang
dulu Mak lang pandai mengurut? ”
“Gurau dia sahaja tu. Asalnya
begini, dia jatuh sewaktu bekerja di kebun. Terhinciut-hincut dia balik ke
rumah. Tak sampai hati Mak Lang tengok, lalu Mak Lang urut. Ikut sedap tangan
je. Baik pula. Sejak tu, apa-apa sakit, dia cari Mak Lang.”
“Mak lang tahu cakar
harimau?”
“Apa tu?”
“Eh, apa petua Mak Lang
dalam urut-mengurut ni?”
“Urut dengan hati
kita..kerana sayang, kesian, kasihkan dia. Bukan sekadar nak ambil hati.”
“Kerana nak beri kasih
sayang, bukan nak dapat kasih sayang?” tanya saya.
“Kau lebih pandai. Mak
Lang tak pandai cakap-cakap macam tu.”
“Apa yang Mak Lang rasa
hilang sangat bila ditinggalkan Pak lang? ”
Dia diam tiba-tiba. Tapi Mak
Lang memang ‘relaks’. Tak pernah saya lihat dia menangis. Sewaktu Pak Lang
meninggal dunia dulu pun, dia macam biasa. Berdoa, baca al-Quran dan
membantu menyelenggarakan urusan-urusan penyempuranaa jenazah.
“Sembang-sembang Pak Lang
kamu..” katanya pendek.
“Sembang-sembang saja? ” ujar
saya hairan.
“Ya, sembang-sembang Pak
Lang kamu adalah penawar hati Mak lang. Sambil sembang dia memujuk, memberi
ilmu, sampaikan panduan. Pandai dia bercerita. Tapi ada makna. Kekadang penuh
gurauan, dia tahu Mak Lang tengah sedih..”
“Bila Pak Lang sembang? ”
“Bila ada kesempatan.
Kadang-kadang sambil kami lipat baju. Masa anak-anak kecil dulu, kami
bersemabang sewaktu Mak Lang membuai anak..dia lipat kain. Sekali-sekala
sewaktu memasak, kalau dia tak ke kebun. Tapi paling dia tak tinggalkan ialah
sembang malam. Sembang-sembang menjelang tidur. ”
Saya senyum. Dengan pemikiran
yang ‘simple’, bahasa dan istilah yang mudah, Mak Lang berkisah –praktik
ilmu-ilmu motivasi terkini. Yang ditulis dalam pelbagai buku yang mahal dan
tebal-tebal. Tapi Mak Lang dan Pak Lang hanya ‘orang kampung’, mereka hanya ‘menulis’
dalam kehidupan. ‘Berceramah’ dengan amalan harian.
“Siapa yang kuat sangat
nak hantar anak-anak belajar tinggi?” tanya saya.
“Kami berdua. Tak nak
anak-anak susah..Pak Lang kamu tak belajar tinggi. Setakat tahu baca dan
mengaji sahaja. Tapi dia yakin, nak berjaya masa akan datang mesti dengan ilmu.”
Anak sulung mereka
menjadi seorang jurutera. Manakala yang kedua pula menjadi seorang guru. Ketiga,
polis dan yang bongsu seorang doktor.
“Mak Lang mengajar mengaji
kan?”
“Mak Lang tekad. Anak-anak
mesti khatam Quran di tangan Mak Lang sendiri. Wuduk, solat, taharahnya dah
diajar di sekolah. Pak Lang kamu Cuma tengok perbuatannya di rumah. Dia garang, tak
berani anak-anak nak tinggal solat..dirotannya. ”
“Apa falsafah hidup Mak Lang?”
“Mak Lang tak pandai..Mak Lang
buat apa yang Mak Lang patut buat. Rasanya Pak Lang pun begitu juga. Rasa kami
sama, sebab selalu bersama…”
“Tapi ada orang selalu bersama,
tapi mereka tetap tak sama..kenapa Mak Lang?”
“Tak tahulah pula. Tapi Mak
Lang dulu selalu buat macam ni...Mak Lang selalu fikir apa yang Pak lang rasa,
bukan yang Mak Lang rasa. Kalau keadaan macam ni, macam mana Pak Lang buat. Kalau
macam tu, macam mana pula Pak Lang bertindak. Entahlah, akhirnya Mak Lang rasa
dalam diri Mak Lang, Mak Lang tak ada...yang ada Cuma Pak lang.”
Wah, ini lebih tinggi dari prinsip 7 habits,
Steven Covey –seek to understand than to be understood.
“Pak Lang rasa macam tu juga
ke? Yang
ada hanya Mak Lang?”
“Sekali-sekala datang juga
pertanyaan macam tu. Tapi
Mak Lang tepis cepat-cepat. Kita buat apa yang patut kita buat. Isteri kena sayang
suami tanpa harap balasan dan sebarang alasan..”
Ini lebih hebat, prinsip
teras dalam cinta rumah tangga –Unconditional love.
-petikan Satu Rasa Dua Hati-Pahrol Mohd Juoi
"Apabila seorang wanita itu telah melakukan solat 5 waktu, berpuasa bulan Ramadhan, memelihara maruah dan mentaati suaminya maka diserukan kepadanya: masuklah dari mana-mana pintu syurga yang sukai."
(Riwayat Thabrani dari Abdul rahman bin Auf r.a.)