Memang sukar untuk orang lain percaya,tapi itulah yang berlaku. Ibu  saya memang seorang pembohong!! Sepanjang ingatan saya  sekurang-kurangnya 8 kali ibu membohongi saya. Saya perlu catatkan  segala pembohongan itu untuk dijadikan renungan anda sekalian.
Cerita  ini bermula ketika saya masih kecil. Saya lahir sebagai seorang anak  lelaki dalam sebuah keluarga miskin. Makan minum serba kekurangan. Kami  sering kelaparan. Adakalanya, selama beberapa hari kami terpaksa makan  berlaukkan ikan masin dikongsi satu keluarga. Sebagai anak yang masih  kecil, saya sering saja merungut. Saya menangis mahukan nasi dan lauk  yang banyak. Tapi ibu cepat memujuk. Ketika makan, ibu sering  membahagikan bahagian nasinya untuk saya. Sambil memindahkan nasi ke  mangkuk saya, ibu berkata : "Makanlah nak ibu tak lapar." PEMBOHONGAN  IBU YANG PERTAMA.
Ketika saya mulai besar ibu yang  gigih sering meluangkan watu senggangnya untuk pergi memancing di tali  air berhampiran rumah. Ibu berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat  memberikan sedikit makanan untuk membesarkan kami adik-beradik. Pulang  dari memancing, ibu memasak gulai ikan yang segar dan mengundang selera.  Sewaktu saya memakan gulai ikan itu ibu duduk disamping kami dan  memakan sisa daging ikan yang masih menempel di tulang daripada bekas  sisa ikan yang saya makan tadi. Saya sedih melihat ibu seperti itu..  Hati saya tersentuh lalu dengan menggunakan sudu saya memberikan ikan  itu kepada ibu. Tetapi ibu dengan cepat menolaknya. Ibu berkata :  "Makanlah nak, ibu tak suka makan ikan." PEMBOHONGAN IBU YANG KEDUA.
Di  usia awal remaja, saya masuk sekolah menengah. Ibu pergi ke kedai  dengan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara  persekolahan saya,abang dan kakak. Suatu dinihari lebih kurang pukul  1.30 pagi saya terjaga dari tidur. Saya melihat ibu membuat kuih dengan  beremankan sebuah pelita di hadapannya. Beberapa kali saya melihat  kepala ibu terhangguk kerana mengantuk. Saya berkata : "Ibu, tidurlah,  esok pagi ibu kena pergi kebun pula." Ibu tersenyum dan berkata :  "Cepatlah tidur nak, ibu belum mengantuk lagi." PEMBOHONGAN IBU YANG  KETIGA.
Di hujung musim persekolahan, ibu meminta  cuti kerja supaya dapat menemani saya pergi ke sekolah untuk menduduki  peperiksaan penting. Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai  menyinari, ibu terus sabar menunggu saya di luar dewan. Ibu seringkali  saja tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Illahi agar  saya lulus ujian peperiksaan ini dengan cemerlang. Ketika loceng  berbunyi menandakan ujian sudah selesai, ibu dengan segera menyambut  saya dan menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang  dibawanya. Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih  sayang ibu yang jauh lebih kental. Melihat tubuh ibu yang dibasahi  peluh, saya segera memberikan cawan saya itu kepada ibu dan menyuruhnya  minum. Tapi ibu cepat-cepat menolaknya dan berkata : "Minumlah nak, ibu  tak haus!!" PEMBOHONGAN IBU YANG KEEMPAT.
Setelah  pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas saya baru beberapa bulan  dilahirkan, ibulah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami  sekeluarga. Ibu bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi  dan menjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan. Tapi apalah sangat  kudrat seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan susah.  Melihat keadaan keluarga yang semakin parah, seorang pakcik yang baik  hati dan tinggal berjiran dengan kami, datang untuk membantu ibu.  Anehnya, ibu menolak bantuan itu. Jiran-jiran sering kali menasihati ibu  supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yang akan menjaga dan  mencarikan wang untuk kami sekeluarga. Tetapi ibu yang keras hatinya  tidak mengendahkan nasihat mereka. Ibu berkata : "Saya tidak perlukan  cinta dan saya tidak perlukan lelaki." PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA.
Setelah  kakak dan abang habis belajar dan mula bekerja, ibu sudah pun tua.  Kakak dan abang menyuruh ibu supaya berehat sahaja di rumah. Tidak  payahlah lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit.  Tetapi ibu tidak mahu. Ibu rela pergi ke pasar setiap pagi menjual  sedikit sayur untuk memenuhi keperluan hidupnya. Kakak dan abang yang  bekerja jauh di kota besar sering mengirimkan wang untuk membantu  memenuhi keperluan ibu, pun begitu ibu tetap berkeras tidak mahu  menerima wang tersebut. Malahan ibu mengirim balik wang itu dan ibu  berkata : "Jangan susah-susah, ibu ada duit" PEMBOHONGAN IBU YANG  KEENAM.
Setelah tamat pengajian di universiti,  saya melanjutkan lagi pelajaran ke peringkat sarjana di luar Negara.  Pengajian saya di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar.  Sarjana itu saya sudahi dengan cemerlang,kemudian saya pun bekerja  dengan syarikat yang telah membiayai pengajian saya juga di luar negara.  Dengan gaji yang agak lumayan, saya berhajat membawa ibu untuk  menikmati penghujung hidupnya di luar negara. Pada pandangan saya, ibu  sudah puas bersusah payah untuk kami. Hampir seluruh hidupnya habis  dengan penderitaan, eloklah kalau hari-hari tuanya ini ibu habiskan  dengan keceriaan dan keindahan pula. Tetapi ibu yang baik hati, menolak  ajakan saya. Ibu tidak mahu menyusahkan anaknya ini dengan berkata ;  "Tak payahlah, ibu tak biasa tinggal di negara orang." PEMBOHONGAN IBU  YANG KETUJUH.
Beberapa tahun berlalu, ibu semakin  tua.. Suatu malam saya menerima berita ibu diserang penyakit kanser Ibu  mesti dibedah secepat mungkin. Saya yang ketika itu berada jauh  diseberang samudera terus segera pulang untuk menjenguk ibunda tercinta.  Saya melihat ibu terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani  pembedahan. Ibu yang kelihatan sangat tua, menatap wajah saya dengan  penuh kerinduan. Ibu menghadiahkan saya sebuah senyuman biarpun agak  kaku kerana terpaksa menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya..  Saya dapat melihat dengan jelas betapa seksanya penyakit itu telah  memamah tubuh ibu sehingga ibu menjadi terlalu lemah dan kurus. Saya  menatap wajah ibu sambil berlinangan air mata. Saya cium tangan ibu  kemudian saya kecup pula pipi dan dahinya. Di saat itu hati saya terlalu  pedih, sakit sekali melihat ibu dalam keadaan seperti ini. Tetapi ibu  tetap tersenyum dan berkata : "Jangan menangis nak, ibu tak sakit." .  PEMBOHONGAN IBU YANG KELAPAN
Setelah mengucapkan pembohongan yang kelapan itu, ibunda tercinta menutup matanya untuk kali terakhir kali.
Anda  bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Anda boleh memeluk dan  menciumnya. Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya  sekarang, dan berkata, 'Ibu,saya sayangkan ibu.' Tapi tidak saya.  Sehingga kini saya diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana biarpun  saya mengasihi ibu lebih dari segala-galanya, tapi tidak pernah  sekalipun saya membisikkan kata-kata itu ke telinga ibu, sampailah saat  ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Ibu, maafkan saya. Saya sayangkan ibu
"SEMOGA MENJADI TAULADAN"....
#penulis hanya copy and paste jer..hehe ..sekadar berkonsi..mengalir air mata lelaki ini...